Dari dahulu hingga sekarang, sulaman kerawang memang tak lapuk ditelan zaman. Ia tetap dipakai setanding dengan aksesori tradisional yang lain seperti seni tekat dan seni puar. Walaupun kini rata-rata busana dihiasi dengan rekaan sulaman manik yang mewah tetapi rekaan sulaman kerawang dilihat mempunyai nilainya tersendiri.
Persiapan Busana Sulaman Kerawang Menjelang Aidlifitri
Kini menjelang sambutan Aidilfitri, kaum hawa biasanya telah membuat persediaan awal untuk menyambut Syawal. Pastinya busana yang berkerawang dan juga busana bermanik pasti menambat hati para penggemarnya agar mereka dapat berhari raya dengan meriah. Jika masa kecil-kecil dahulu, saya dapat melihat Dato’ Yusni Hamid tampil dengan selendang yang bersulam kerawang. Manik sekali wajah beliau apabila selendang di kepala dihiasi dengan corak sulaman kerawang. Ini apabila umur saya meningkat, selendang kerawang yang sama pula digayakan oleh Dato’ Siti Nurhaliza.
Sehingga ia turut menjadi ikutan apabila para pelanggan saya juga inginkan tudung sulaman kerawang seperti yang digayakan oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Ia sungguh mewah sekali tatkala sulaman kerawang pada selendang tersebut dihasilkan sama dengan warna serta corak pada busana mereka. Sangat cantik dan sedondon.
Seni Sulaman Kerawang Yang Tidak Luput Ditelan Zaman.
Bagi saya, itulah nilai seni sulaman kerawang apabila digayakan dari satu generasi ke generasi yang lain dengan mengangkatnya sebagai seni yang berharga. Dengan itu, ia telah membawa kepada rasa ingin menghasilkan sendiri apabila sulaman kerawang dianggap sebagai khazanah yang perlu dikekalkan oleh penggemar sulaman kerawang.
Bagi mereka agar ia dapat diwarisi sebagai lambang warisan generasi ke generasi seterusnya. Sulaman kerawang pada hakikatnya boleh dijadikan sebagai industri yang memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Hal ini telah dilakukan oleh negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Myanmar yang menjadikan industri sulaman kerawang sebagai penyumbang kepada ekonomi negara mereka selain daripada sektor-sektor ekonomi yang lain.
Hasil Sulaman Kerawang Dengan Motif Tersendiri
Namun, setiap negara ini menghasilkan gaya bermotif sulaman kerawang yang berbeza sehingga dapat memberikan imej berbeza kepada para penggemar sulaman kerawang tersebut. Tidak hairanlah jika para penggemar sulaman kerawang ini sanggup ke negara-negara tersebut untuk memiliki hasil rekaan sulaman kerawang yang cantik dihasilkan.
Oleh itu, apa salahnya jika hasil sulaman kerawang negara kita juga dikenali dunia. Hal ini kerana motif tradisional negara kita juga amat berlainan dengan motif sulaman dari negara jiran. Oleh itu tidak salah jika kita menonjolkan identiti sulaman kerawang negara kita sendiri.
Jumpa Lagi!
Ikhlas,
Syahida Ramli,
Pengasas, Butik Sulaman Sri Classic Collection