Tudung fabrik bawal kini menjadi trend kembali setelah diubah suai sehingga menjadi fabrik bawal yang berwarna warni dan bercorak. Sememangnya tudung fabrik bawal mempunyai zonnya yang tersendiri. Walaupun ia kini menjadi satu trend dan dijadikan juga selendang yang dipakai dengan pelbagai gaya. Sememangnya, fabrik bawal ini sangat selesa untuk dipakai tanpa mengira usia.

 

Mengapa Tudung Fabrik Bawal Lebih Digemari Untuk Dipakai?

 

Namun, bagaimanakah anda mengetahui kualiti fabrik bawal yang sebenar? Seingat saya, tudung fabrik bawal ini sudah lama berada di pasaran tempatan. Namun, ketika itu ia banyak didapati di negeri Che’ Siti Wan Kembang. Di sana, rata-rata anak gadis mahupun wanita yang berumur meminati tudung fabrik bawal. Mengapa tudung fabrik bawal ini diminati ramai? Hal ini kerana fabrik bawal ini menyamai fabrik kapas. Ia dapat menyerap peluh dan ia tidak panas apabila dipakai. Oleh kerana itulah ia menjadi pilihan kaum wanita di sana. Jika anda sudah mencuba dan selesa memakai tudung fabrik bawal ini, anda pasti sukar untuk mengubah kepada tudung fabrik yang lain.

 

Tudung Fabrik Bawal Mudah Dibentuk

 

Tudung Fabrik Bawal Corak Sulaman BenangSelain itu juga, fabrik bawal ini mudah dibentuk terutama sekali pada bahagian muka. Ia tidak perlu dilipat secara rigid untuk membentuk bahagian keras. Sekiranya dililit, ia pasti akan membentuk lapisan yang bertingkat-tingkat. Ia terhasil cantik berpandukan kesan lipatan dan lilitan pada bahagian muka. Malah, ia akan terletak cantik dan kekal sehinggalah tudung itu dibuka dari kepala anda.

 

Sebab itulah, fabrik bawal merupakan fabrik tudung pilihan yang paling tepat terutamanya apabila ia  digayakan oleh mereka yang baru mula mengenakan hijab. Selain daripada keselesaan semasa memakainya, tudung fabrik bawal ini senang untuk ditambah dengan aksesori sebagai penambah ataupun penyeri kepada tudung, hijab atau selendang yang ingin digayakan.

 

Fesyen Perkembangan Tudung Bawal.

 

Seingat saya, sewaktu saya berusia belasan tahun, fabrik bawal ini ditambah dengan mutiara dan batu-batu kecil yang cantik. Kemudian ia ditambah dengan renda-renda yang berbentuk bulat di hujungnya. Ia menyamai kain serban yang dipakai oleh kaum lelaki.

 

Kemudian, timbul pula design tudung fabrik bawal dengan deretan kristal berlian yang dijahit satu layer sehingga dijahit menjadi 3 layer. Dan ia disulam dengan sulaman kerawang serta sulaman benang halus tangan. Semuanya menaikkan lagi nilai komersil fabrik tudung bawal ini sehingga mencecah ratusan ringgit walaupun hanya untuk pembelian sehelai tudung bawal.

 

Fesyen Tudung Yang Masih Kekal Menjadi Pilihan

 

Malangnya, adapun fabrik tudung bawal ini dijahit sehingga menjadi satu trend yang lebih murah tanpa mengenal kualiti fabrik bawal. Namun, fabrik bawal ini mempunyai prestijnya yang tersendiri walaupun dibayangi trend tudung terkini yang hampir memupuskan kualiti fabrik bawal yang sebenar di kalangan peminatnya. Bak kata pepatah hanya jauhari mengenal manikam. Tudung fabrik bawal tetap menjadi pilihan sehingga kini.