Jahitan tulang belut merupakan nukilan yang akan saya perkatakan pada kali ini. Umumnya, jahitan silang pangkah merupakan satu teknik jahitan tangan yang sangat kukuh. Walaupun ia menggunakan satu lembar benang sahaja, namun jika dijahit pada fabrik, ia sukar untuk terurai apatah lagi tercabut. Dengan ini, ia memberi ilham kepada perkembangan teknik jahitan tulang belut.

 

Teknik Jahitan Tulang Belut Sebagai Hiasan Leher Baju Teluk Belanga.

 

Teknik jahitan tulang belut ini merupakan jahitan hiasan pada leher baju teluk belanga. Sama ada ia dipakai oleh golongan wanita ataupun ia dipakai oleh kaum lelaki. Teknik tulang belut ini menjadi minat para pelanggan berbanding dengan teknik hiasan yang lain seperti jahitan karipap, jahitan mata lalat ataupun jahitan bunga cengkih.

 

Sukar Mencari Hasil Teknik Jahitan Tulang Belut Yang Cantik dan Kemas.

 

Jahitan Tulang Belut Pada Baju KurungPada masa sekarang, sukar untuk mencari jahitan teknik jahitan tulang belut yang cantik. Ini kerana silangan yang dihasilkan bertindih-tindih, serong dan meruncing, yang menjadikannya amat cantik untuk dilihat. Seingat saya, pernah saya terlihat teknik jahitan tulang belut ini cantik dengan silang pangkahnya yang seragam.

 

Walaupun diteliti ataupun dibelek-belek, pastinya saya akan mendapati ia tetap seragam jahitannya dari permulaan hinggalah ke penghujungnya. Sangat cantik kerana ia dapat dilihat sewaktu kesemua jahitannya siap sempurna pada fabrik.

 

Antara Teknik Jahitan Karipap, Tindih Kasih dan Tulang Belut.

 

Sebenarnya, teknik jahitan tulang belut ini, saya pelajari setelah mempelajari seni jahitan dan juga sulaman. Agak lewat saya mempelajarinya kerana merasakan ia susah untuk dihasilkan. Masakan tidak, naluri itu bermain di dalam hati saya kerana nisbah 1:50 barulah saya dapat melihat teknik tulang belut itu dihasilkan pada leher baju teluk belanga.

 

Jika tidak, pastinya teknik mata lalat ataupun teknik karipap sahaja yang menjadi aksesori kepada baju teluk belanga tersebut. Malah, saya pernah juga melihat leher baju kini tidak lagi disembat menggunakan tangan, sebaliknya ia dijahit dengan jahitan tindih kasih yang menggunakan mesin ataupun dijahit dengan menggunakan kun.

 

Teruja Dengan Leher Baju Dijahit Teknik Jahitan Tulang Belut.

 

Oleh kerana itu, jika baju teluk belanga dijahit dengan menggunakan teknik tulang belut, pastinya saya akan rasa teruja untuk melihatnya. Ini berikutan, guru saya pernah mengatakan bahawa jahitan teknik tulang belut yang pernah beliau jumpa adalah sangat halus dan cantik dihasilkan oleh kaum lelaki. Malah, kata-kata itu disokong oleh kebanyakan peserta bengkel jahitan saya yang rata-rata mempunyai latar belakang dalam bidang jahitan. Kata mereka, jahitan yang paling cantik yang pernah mereka saksikan adalah daripada kaum lelaki.

 

Cabaran Untuk Menghasilkan Jahitan Yang Lebih Kemas.

 

Kata-kata itu memberi semangat dan cabaran kepada saya dalam menghasilkan jahitan yang lebih berkualiti dan kemas. Malah, ia menjadi inspirasi kepada saya dalam menjahit manik dan juga menghasilkan aksesori lain pada setiap busana. Bagi saya, jahitan yang berkualiti akan kekal cantik selamanya, walaupun busana itu dicuci dengan cucian mesin. Itulah yang menjadi pengangan untuk saya menghasilkkan satu-satu rekaan aksesori pada busana hari ini.